Wednesday, February 1, 2017

Pengenalan Asas Sains Komputer (ASK)

PENDAHULUAN:

Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) dilaksanakan mulai tahun 2017 secara berperingkat bermula dengan Tingkatan 1. Melalui KSSM, salah satu mata pelajaran baharu yang diperkenalkan ialah Asas Sains Komputer (ASK) yang diajar kepada murid di peringkat menengah rendah. ASK merupakan kesinambungan mata pelajaran Teknologi Maklumat dan Komunikasi (TMK) yang telah diperkenalkan kepada murid di sekolah rendah dan menggantikan program Information and Communication Technology Literacy (ICTL) sekolah menengah yang telah dilaksanakan mulai tahun 2007.

OBJEKTIF:

KSSM ASK bertujuan membolehkan murid mencapai objektif berikut:
1. Menyusun, menganalisis dan mempersembahkan data atau idea secara logik dan sistematik;
2. Mengguna, mengesan dan membetulkan kesalahan algoritma dan atur cara menggunakan pemikiran logik dan pemikiran komputasional;
3. Menyelesaikan masalah kompleks melalui pemikiran komputasional menggunakan penyelesaian berteraskan komputer; dan
4. Mengaplikasikan pengetahuan dan kemahiran pengkomputeran secara beretika, berhemah dan bertanggungjawab